Aku memang ada minat pada sastera, puisi dan pantun.
Aku begitu kagum pada mereka yang mampu menggarap setiap seni sastera itu dengan garapan yang indah.
Yang aku maksudkan adalah koleksi-koleksi sastera yang penuh dengan mainan bahasa, yang sarat dengan isi dan mesej di sebalik patah bahasa yag diguna.
Ramai yang boleh berkarya. Tapi tidak ramai yang berkarya dengan sastera melayu yang tulen. Kerana bagiku, satu nilai yang wujud pada sastera melayu semenjak dari dulu adalah dari segi hikmah dan wisdom yang ada padanya.
Bacaan yang banyak, kaya pengetahuan dan pengalaman mewujudkan hikmah dan wisdom.
Aku benar-benar kagum pada yang menghasilkan karya seperti itu.
Pantun-pantun yang cetek seperti Pak Ahmad ke kedai membeli gula, atau Pak Abu ke kedai membeli beras, padaku tiada lah tinggi nilainya. Ia sangat cetek, walaupun mungkin diakhirnya punya mesej yang ingin disampaikan, tetapi seni sastera melayu bagiku bukan sekadar menyampai mesej, tetapi turut mempamer keindahan bahasa serta budaya bangsa.
Lihat sahajalah pada puisi puisi yang dihasilkan A Samad Said atau Usman Awang. Tidak wujud Pak Mat ke kedai Pak Abu ke sawah ni.
Nah satu contoh puisi yang kukira mencapai piawaian tersebut. Sehingga kini terngiang-ngiang rasanya pada sarat bahasa dan mesej yang disampaikan. Aku mengagumi mereka yang dapat hasilkan karya seperti ini:
angin dan debu
cinta adalah hidup
rindu adalah mati.
cinta itu bait-bait syair yang mengalir
rentaknya akur pada denyut hayat
adakalanya membuak dari luka pedih
amuknya menggempa pada bumi
memetir pada langit
hangat seperti lahar api
benderang seperti matahari.
rindu itu lukisan yang sudah kering tinta
melakar pada kanvas masa
renungan mata sedalam lautan
awan kelabu terus abadi memendam hujan
selama-lamanya kaku dan bisu
diam seperti gunung-ganang
dingin seperti cahaya bulan.
cinta tanpa rindu
padang pasir meribut tanpa wadi
rindu yang tidak pernah dikunjung cinta
adalah salji kutub utara
menanam kisah dari kurun berjuta
hidup jadi bererti
kerana adanya mati
cinta jadi manis dan wangi
diperam waktu
dalam tempayan rindu.
cinta memberi nadi
hingga lukisan mula menari
rindu memberi wajah
sampai syair terukir jadi potret indah
ketika tiba waktunya bertemu
kewujudan dua menjadi satu
bertukarlah mati menjadi angin
dan hidup menjadi debu
rindu itu lukisan yang sudah kering tinta |
No comments:
Post a Comment